UA-111544038-4

7 Salah Faham Utama Berkaitan Cukai Di Kalangan Pemilik Enterprise

Sepanjang tempoh 10 tahun dalam kerjaya sebagai juruaudit, saya dapati ada 7 salah faham utama berkaitan cukai di kalangan pemilik enterprise.

 

#1 – Sudah Bayar Zakat Banyak, Tidak Perlu Hantar Borang Cukai

Memang ramai peniaga yang lebih sanggup bayar zakat banyak dari bayar cukai. Tapi cukai dengan zakat tidak sama. Zakat wajib untuk umat Islam. Cukai undang-undang dalam negara. Zakat boleh mengurangkan pembayaran cukai, namun masih perlu hantar taksiran dahulu. Tidak buat taksiran cukai boleh dikenakan tindakan undang-undang. Walau bayar zakat banyak mana pun.

 

#2 – Sudah Rugi, Tidak Perlu Hantar Borang Taksiran

Mendaftar di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan hantar borang taksiran tiada kaitan dengan untung atau ruginya perniagaan kita. Perniagaan untung atau rugi tetap kena hantar borang taksiran. Malahan jika rugi, lagi perlu hantar. Rugi tahun ini boleh ditolak dengan untung masa hadapan.

lhdn

 

#3 – Berniaga Online, Tak Perlu daftar SSM Dengan LHDN

Online atau offline, tetap perniagaan. Semua perniagaan perlu berdaftar. Dropship pun perlu mendaftar sekarang. Kalau gambar poslaju barang mengunung, update pula status ‘barang baru sampai, sudah 500 orang order’, memang sengaja nak suruh pegawai LHDN datang agaknya.

 

#4 – Bila Sudah Daftar Nanti Harus Bayar Cukai

Selepas daftar di LHDN, kita perlu buat taksiran cukai. Belum tentu kena bayar lagi. Taksiran cukai ini pengiraan dia tak sama macam penyata untung rugi kita. Perbezaan pengiraan ini boleh menyebabkan untung jadi rugi. Mungkin juga dari rugi jadi untung. Macam yang diberitahu dalam poin nombor dua tadi, kalau rugi, tak perlu bayar cukai. Malahan boleh dibawa ke tahun hadapan untuk ditolak dari untung tahun depan.

tax

 

#5 – Beli Kereta Boleh Kurangkan Cukai

Beli asset memang ada kelebihan dalam cukai. Ia dipanggil elaun modal. Berbeza sedikit dari susut nilai atau depreciation dalam perakaunan. Tapi untuk kenderaan penumpang, ada limit juga. Untuk kenderaan baru yang bernilai kurang dari RM150,000, had yang dibenarkan ialah RM100,000 sahaja. Lebih dari RM150,000, amaun yang dibenarkan hanya RM50,000.

Maksudnya jika beli Audi A4 bernilai RM239,900, amaun yang dibenarkan untuk penolakan cukai Cuma RM50,000 sahaja. Sebab ia bernilai lebih dari RM150,000. Tahun pertama boleh tolak 40% dan tahun kedua sehingga tahun keempat boleh tolak 20% untuk pengurangan cukai.

 

#6 – Semua Perbelanjaan Pemilik, Perniagaan Bayarkan

Habis segala perbelanjaan di ‘claim’ dengan perniagaan. Beli susu anak pun nak masuk akaun perniagaan juga. Ubahsuai rumah pun masuk akaun perniagaan. Ini yang orang panggil merompak perniagaan sendiri.

Tak semua perbelanjaan boleh masuk dalam akaun perniagaan. Hanya yang berkaitan secara langsung dalam perniagaan boleh dimasukkan dalam perniagaan. Selain itu tidak dibenarkan dalam pengiraan cukai.

money business

 

#7 – Akan Dikejar Jika Beli Kereta Atau Rumah Secara Tunai

Mungkin juga akan dikejar. Tapi jika ada bukti sumber wang itu dari mana, tidak perlu risau. Contohnya, tahun lepas ada keuntungan bersih RM150,000. Selepas buat pengiraan dan hantar tafsiran cukai, perlu bayar cukai dalam RM30,000. Selepas bayar ada untung bersih RM120,000.

Tengok pula dalam aliran tunai masih ada tunai RM100,000 selepas tolak kos operasi. Ada pula kawan terdesak nak jual rumah, RM90,000. Belilah rumah guna tunai RM90,000. Sudah tentu tiada masalah. Sebab cukai telah dibayar, dan untung memang lebih dari nilai rumah itu.

Cuma harus berfikir mengenai perniagaan. Kalau  90% duit untung buat beli rumah, macam mana nak kembangkan perniagaan.

 

- sumber: MajalahNiaga

 

Pautan:

Income Tax Calculator

Pelepasan Cukai Individu Pemastautin

Kadar Cukai Pendapatan