UA-111544038-4

7 Tips Pengurusan Masa Untuk Usahawan Internet

Masa akan sentiasa mencemburui seseorang Usahawan Internet. Lebih-lebih lagi buat usahawan internet yang masih baru kepada dunia perniagaan internet dan masih melakukan segala-gala urusan perniagaan internetnya secara bersendirian.

Andalah yang akan menghasilkan produk, andalah yang akan menulis email, andalah yang akan menulis artikel blog, andalah yang perlu menerima pesanan, andalah yang perlu menghantar barangan, andalah yang perlu mempromosi di Facebook dan andalah yang akan… (isi aktiviti anda di sini)… 

Pendek kata, anda tak akan menang tangan di dalam menguruskan segala-galanya di dalam perniagaan internet anda!

Anda akan sentiasa mendapati anda kekurangan masa dalam melakukan aktiviti-aktiviti yang perlu di dalam model perniagaan internet yang sedang anda lakukan pada masa kini. Lebih-lebih lagi jika anda melakukan perniagaan internet anda secara part-time. Mana masa untuk melakukan kerja sepenuh masa anda dan mana pula masa untuk melakukan perniagaan internet anda secara part time? Anda pasti akan rasa terkejar ke sana ke mari untuk melakukan segala aktiviti anda.

Langkah terbaik untuk menangani masalah kekurangan masa anda ini adalah dengan menyerahkan aktiviti-aktiviti tertentu kepada orang lain. Maksudnya di sini, anda perlu outsource kerja-kerja anda kepada orang lain.

Di antara kerja-kerja yang boleh anda outsource adalah penulisan artikel, penghasilan grafik, memasang laman web, penghasilan video, mempromosi di Facebook, pengurusan blog, pembungkusan barangan dan penghantaran barangan.

Masalah paling utama di dalam melakukan outsourcing ini adalah anda perlu menyediakan wang kerana individu atau pihak yang membantu kerja itu perlu dibayar perkhidmatan mereka.

Jika anda belum lagi memiliki modal yang mencukupi untuk memudahkan anda outsource kerja-kerja anda itu, di sini saya ingin kongsikan 7 tip pengurusan masayang boleh membantu di dalam urusan perniagaan internet seharian anda.

Mari kita mulakan…

1.       Tetapkan Kepentingan Kerja

Tip pengurusan masa pertama yang ingin saya berikan adalah anda perlu menetapkan kepentingan kerja-kerja seharian perniagaan internet anda. Senaraikan semua kerja yang ingin anda lakukan pada hari tersebut berdasarkan kepentingannya. Aktiviti paling penting perlu anda letakkan di tempat pertama manakala aktiviti yang paling kurang penting di tempat paling bawah. Setelah memiliki senarai ini, laksanakan setiap aktiviti daripada yang pertama sehingga yang terakhir. Dengan cara ini, anda boleh pastikan aktiviti-aktivit yang kritikal untuk perniagaan internet anda disiapkan dulu sebelum anda beralih kepada aktiviti-aktiviti lain yang kurang penting. Ini membantu anda melakukan optimasi masa dengan sebaik mungkin.

 

2.       Tetapkan Masa Khas

Tip pengurusan masa yang seterusnya adalah anda perlu menetapkan masa khas di dalam sehari untuk melakukan kerja-kerja perniagaan internet anda. Sebagai contoh, jika anda lebih banyak masa terluang pada waktu pagi, anda boleh menetapkan waktu dari jam 8 pagi sehingga 10 pagi untuk melakukan aktiviti-aktiviti internet anda. Jika anda lebih banyak masa pada waktu malam, maka anda boleh menetapkan waktu dari jam 8 malam sehingga 10 malam untuk menjalankan aktiviti anda. Jadikan waktu yang telah anda tetapkan itu sebagai waktu yang khas pada setiap hari untuk anda jalankan aktiviti internet anda. Dengan cara ini, akan menjadi satu kebiasaan atau rutin untuk diri anda menggunakan masa khas tersebut untuk perniagaan internet anda.

 

3.       Kurangkan Masa Tidak Produktif

Cuba kaji aktiviti seharian anda. Saya pasti anda akan mendapati terdapat aktiviti-aktiviti tidak produktif yang boleh anda kurangkan supaya anda boleh meluangkan lebih banyak masa untuk perniagaan internet anda. Sebagai contoh, jika anda banyak meluangkan masa untuk menonton televisyen, maka anda sepatutnya mengurangkannya. Begitu juga jika anda banyak meluangkan masa untuk berborak atau melepak dengan rakan-rakan di kedai kopi atau di shopping mall. Kurangkan masa anda untuk melakukan aktiviti tidak produktif tersebut dan manfaatkan masa terluang itu untuk kebaikan perniagaan internet anda.

 

4.       Buat Jadual Waktu

Saya faham bahawa kita bukan lagi seorang budak sekolah yang perlu sentiasa terikat kepada jadual waktu. Tetapi jika anda betul-betul serius tentang kejayaan anda di dalam dunia perniagaan internet, menghasilkan jadual waktu untuk aktiviti seharian anda dapat membantu anda. Tetapkan jumlah waktu yang akan anda habiskan pada setiap hari untuk aktiviti tertentu di dalam kehidupan seharian anda. Tulis jadual waktu tersebut besar-besar dan tampal di tempat yang mudah untuk anda melihatnya. Jadikan jadual tersebut sebagai sumber disiplin buat diri anda untuk menuruti apa yang telah anda tulis. Jika anda dapat berbuat demikian, sudah pasti anda akan dapat menguruskan perniagaan internet anda dengan lebih baik.

 

5.       Maksimakan Waktu Terluang

Tip ini khas buat mereka yang sedang bekerja atau sedang menuntut. Jika anda merupakan seorang pekerja atau seorang penuntut, sudah pasti ada masa terluang yang boleh anda maksimakan. Maksud saya di sini bukanlah untuk anda mencuri tulang untuk melakukan perniagaan internet semasa waktu kerja atau waktu belajar. Tetapi adalah lebih kepada memaksimakan waktu terluang yang terdapat semasa anda pergi atau balik dari kerja atau belajar dan semasa waktu rehat di pertengahannya. Sebagai contoh, jika anda perlu menggunakan komuter untuk pergi dan balik dari kerja pada setiap hari, anda boleh menggunakan masa terluang di dalam komuter tersebut untuk melakukan aktiviti internet anda. Begitu juga sewaktu rehat untuk makan tengahari. Anda boleh kurangkan masa untuk anda makan semasa waktu rehat tengahari dan gunakan masa terluang itu untuk melakukan perniagaan internet anda. Walaupun setengah jam atau satu jam pada setiap hari sudah boleh membawa perubahan yang besar jika dijumlahkan masa keseluruhan dalam masa sebulan!

 

6.       Lakukan Automasi

Tip pengurusan masa yang seterusnya adalah untuk anda melakukan automasi di dalam menjalankan perniagaan internet anda. Sebaik-baiknya, apa jua aktiviti yang boleh anda automasikan di dalam perniagaan internet anda perlulah diautomasikan. Jika terdapat perisian tertentu yang boleh membantu anda, maka anda perlu mendapatkannya. Dengan berbuat demikian, anda sudah tidak perlu melakukan aktiviti tersebut secara manual kerana proses automasi tersebut dapat membantu anda. Sebagai contoh, perisian autoresponder mail yang dapat membantu anda menghantar email secara berkala. Daripada perlu menghantar email secara manual, anda boleh menggunakan perisian autoresponder tersebut untuk menghantar email pada bila-bila masa yang anda inginkan secara automatik walaupun anda sedang bekerja atau belajar pada masa tersebut.

 

7.       Outsourcing Dengan Barter

Di awal artikel ini saya ada menyebut tentang keperluan wang untuk membayar perkhidmatan outsourcing yang anda gunakan. Sebenarnya jika anda dapat mengeluarkan faktor wang daripada urusan outsourcing tersebut, anda masih boleh mendapatkan perkhidmatan orang lain tanpa perlu membayar sebarang wang kepada individu atau pihak tersebut. Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang yang pandai menghasilkan grafik, anda boleh menawarkan perkhidmatan tersebut kepada usahwan internet lain yang pandai menulis artikel. Anda boleh membuat perjanjian dengannya bahawa anda boleh membantunya untuk menghasilkan grafik dan individu tersebut boleh membantu anda untuk menulis artikel. Dengan cara ini, anda boleh mencapai objektif anda untuk menyiapkan aktiviti tersebut dan pada masa yang sama boleh menjalinkan persahabatan yang baik dengan individu tersebut.

 

Itulah 7 tip pengurusan masa untuk usahawan internet yang saya yakin dapat memberikan manfaat kepada anda sekiranya anda mengaplikasikannya.

Ingatlah bahawa seseorang usahawan internet perlu work smart iaitu bekerja dengan bijak dan bukan sahaja work hard iaitu bekerja dengan keras. Oleh itu, gunakanlah tip-tip pengurusan masa yang telah saya kongsikan ini dengan sebaik mungkin.

Sehingga berjumpa lagi di dalam artikel yang lain, salam hormat dan salam kejayaan daripada saya!

- from Eruwan Gerry